Sunday, May 17, 2009

Jangan bubar DUN Perak, kalau BN mahu berkuasa

Bila gabungan DAP, PAS dan PKR memperolehi 31 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Perak berbanding Barisan Nasional yang memperolehi 28 kerusi, maka dengan sendirinya gabungan DAP, PAS dan PKR mempunyai hak untuk menerajui pemerintahan negeri Perak.

Walaupun BN telah menguasai negeri itu sejak bermulanya pilihanraya di negara ini, namun mereka terpaksa merelakan ianya berpindah kepada gabungan DAP, PAS dan PKR yang kemudiannya dinamakan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Barisan Nasional terpaksa akur pada kenyataan bahawa kerusi yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat adalah melebihi dari kerusi yang mereka miliki. Mereka terpaksa menerima hakikat dan mula belajar menjadi pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Sepertimana parti-parti politik lain yang bermatlamatkan kuasa sebagai alat untuk melaksanakan dasarnya, BN tidak pernah putus asa untuk menguasai semula pemerintahan negeri Perak.

Peluang ini tercapai bila mana 3 orang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat menyatakan tidak sehaluan lagi dengan gabungannya dan menyatakan untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional. Walaupun perbuatan itu dianggap tidak baik, tetapi dalam politik ianya memberi makna yang besar kepada pihak lawan.

Bermacam-macam tuduhan dan kritikan telah dilemparkan oleh penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional, kerana berlakunya peralihan sokongan 3 wakil rakyat itu. Bagaiamanapun dari segi politik, ianya tidak ubah sebagai melepas geram kerana kehilangan peluang untuk berkuasa.

Dengan sokongan 3 wakil rakyat dari PR itu, ini menjadikan BN sekarang ini mempunyai 31 suara di dalam Dewan Undangan Negeri. Bagaimana pun sesuatu yang diluar dugaan telah berlaku. Keghairahan untuk menguasai semula negeri Perak, telah mendorong Datuk Seri Najib
bertindak mendahului peraturan yang ada.

Baginda Sultan telah dipohon untuk melantik Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Niza dari PR, yang pada zahirnya telah pun kehilangan kuasa majoriti di dalam DUN.

Bagaimanapun peraturan dalam undang-undang tubuh Negeri Perak telah menyatakan dengan jelas bahawa seseorang Menteri Besar itu tidak dianggap jatuh selagi ianya tidak meletakkan jawatan, DUN di bubarkan atau ianya dijatuhkan dengan undi tidak percaya di dalam DUN. Dengan ini Datuk Seri Niza masih sah sebagai Menteri Besar Perak dan ini diperkuatkan lagi bila Mahkamah Persekutuan membuat pengesahan itu.

Keadaan ini telah memberi kesempatan kepada PR memanipulasikan keadaan yang ada, dan menyebabkan kerajaan negeri Perak sehingga kini masih lagi "tergantung".
Walaupun dari segi realitinya PR memang telah kehilangan majoriti di dalam DUN, tetapi kerana sifat gopoh BN telah menyebabkan PR berjaya menguasi keadaan politik di negeri Perak dan dijangka ianya akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke 13.
Walaupun banyak pihak menyuarakan supaya DUN Perak dibubarkan dan diadakan pilihanraya semula bagi menentukan siapa yang berhak memerintah negeri Perak, tetapi itu hanyalah suara dari pihak yang telah kehilangan kuasa.
Demokrasi hanyalah merupakan satu sistem yang dijalankan untuk gelanggang perebutan kuasa. Matlamat utamanya ialah kuasa.
Sekarang ini BN telah pun memiliki kuasa itu. Adalah sesuatu yang amat bodoh sekiranya BN bersetuju untuk membubarkan DUN Perak buat masa ini. Ini kerana BN adalah berada dipihak yang kalah sekiranya mahu bertanding dalam gelanggang demokrasi buat masa ini.

3 comments:

  1. Bukan soal alih kuasa tetapi soal Perlembagaan. Untuk mengambil alih mesti menggunakan undi tak percaya di DUN. Lainlah selepas Pilihanraya Umum kerana DUN sudah dibubarkan! Kena baca Perlembagaan baru bertemu dengan isu sebenar! Sultan bukan sepeaker yang mempengerusikan DUN, jangan jatuhkan taraf Sultan.

    ReplyDelete
  2. Seladang,
    PR dan BN sekarang bukan berada di akademi atau sekolah undang-undang. Mereka sekarang berada di gelanggang politik. Kuasa adalah matlamat utama. Untuk mendapat kuasa dan mengekalkannya, manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk memperolehinya.

    ReplyDelete
  3. Kalau iapun nak berpolitik jangan sampai matlamat menghalalkan cara!

    ReplyDelete