Monday, February 23, 2009

Jangan terjadi kapal pecah, yu yang kenyang

Apa untungnya PAS bemati-matian mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak? Takut nanti kapal pecah, yu yang kenyang. Kedudukan PAS dalam kerajaan PR diperak tidaklah lebih dari nasi tambah" sahaja.

Datuk Seri Niza dilantik menjadi Menteri Besar kerana ianya dipilih oleh Tuanku Sultan. Sedangakan ketiga-tiga parti dalam PR mengemukakan nama-nama calon mereka untuk dilantik sebagai MB. Baginda Tuanku memilih Datuk Seri Niza kerana bukan sahaja kerana beliau seorang Melayu tetapi kerana ketuanya juga adalah Melayu.

Tindakan baginda sultan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri seperti yang diminta oleh Pakatan Rakyat adalah merupakan rahmat kepada orang-orang Melayu dan Islam di negeri Perak.

Sememangnya populariti Barisan Nasional merosot sejak Pilihan raya ke 12 yang lalu dan dalam jangka masa yang terdekat ini tidak mungkin UMNO atau pun Barisan Nasional akan berjaya menghadapi Pakatan Rakyat sekiranya berlaku pilihan raya.

Seandainya baginda Tuanku memperkenankan pembubaran DUN seperti yang diminta oleh Datuk Seri Mohamad Niza itu, maka sudah pasti pilihan raya diadakan. Dari perkiraan mata kasar, Pakatan Rakyat akan berkuasa semula di Perak.

Kalau dalam PRU ke 12 dahulu, DAP tidak meletakkan calon Melayu untuk bertanding, kerana mereka tidak menjangka DAP boleh memperolehi kerusi yang begitu banyak. Sebab itu bila PR berjaya menguasai negeri Perak, mereka terpaksa berkompromi menerima Datuk Seri Niza sebagai MB. Sedangkan pada peringkat awal mereka mahukan MB dari kalangan anggota DAP iaitu orang-orang Cina. Bila bagnda Tuanku mahukan MB dikalangan orang Melayu, mereka terpaksa akur.

Sekiranya berlaku pembubaran dewan dan pilihan raya diadakan, adalah tidak mustahil DAP akan mengetengahkan calon-calon Melayu dalam pilihan raya itu dan kalau Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya itu, pastinya calon-calon Melayu itu akan ditolak menjadi Menteri Besar mewakili DAP. Dimasa ini baginda Sultan sudah tidak ada pilihan.

Saya percaya baginda sultan telah dapat menghidu perancangan ini. Sekiranya orang Melayu dari calon DAP yang menjadi MB, ianya tidak lebih sebagai boneka sahaja kerana setiap perkara mereka akan merujuk kepada ketuannya iaitu pemimpin tertinggi DAP yang kita tahu siapa mereka sebenarnya.

Kalau MB itu dari PAS atau PKR adalah "ampun" sedikit kerana mereka akan merujuk kepada ketua mereka yang juga orang-orang Melayu.

Oleh itu, Datuk Seri Niza dan penyokong-penyokong PR, bawa-bawalah bertenang sedikit. Lihatlah masa depan anak bangsa dan agama kita. Jangan nanti dikata orang, menang sorak kampung tergadai.

Apa yang dilakukan oleh baginda Sultan itu adalah untuk kebaikan bangsa Melayu dan agama Islam. Baginda lebih dahulu makan garam. Sebagai orang yang berilmu dan berpengalaman tidak mungkin baginda sengaja mahu mentafsirkan undang-undang untuk kepentingannya.

Tuesday, February 10, 2009

Fasal 38 (4) usaha UMNO mempertahankan raja

Majlis raja-raja yang pertama di Kuala Kangsar

Tujuan meminda Perlembagaan Persekutuan Fasal 38 (4) menghapuskan imuniti raja-raja pada tahun 1993, bukanlah bertujuan untuk menghina raja-raja atau mengurangkan penghormatan rakyat terhadap raja atau sultan.

Pindaan itu terpaksa dibuat oleh kerajaan yang didukung oleh UMNO yang memperjuangkan hak orang-orang Melayu, bagi memastikan Sistem Raja Berpelembagaan dapat terus dipertahankan dalam arus permodenan dunia yang semakin mendesak sekarang ini.

Beberapa peristiwa yang terjadi antara seorang rakyat dengan seorang raja dan kerabatnya diwaktu itu, telah menimbulkan satu keadaan resah dan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat.

Tun Dr. Mahathir yang ketika itu sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, telah mengambil satu langkah kehadapan bagi menyelamatkan istana dari terus dikritik ekoran dari peristiwa tersebut.

Beliau menyedari dalam dunia yang mengamalkan sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat. Bagaimanapun raja-raja masih dapat dipertahankan sekiranya rakyat tidak menempelak mereka.Tetapi apabila raja-raja tidal lagi dapat mengawal diri dan kerabatnya, dibimbangi rakyat akan menzahirkan kekuatannya.

Sebagai parti orang-orang Melayu, para pemimpin UMNO menyedari orang-orang Melayu masih lagi memerlukan payung bagi membolehkan mereka berteduh dan berlindung semasa dalam proses menatih diri menjadi satu bangsa yang kuat. Orang Melayu masih tidak mampu untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang sememangnya telah kuat dalam berbagai bidang.

Bagi meredakan keresahan rakyat itu, Tun Dr. Mahathir selaku presiden UMNO dan Perdana Menteri kerajaan BN telah membawa usul ke Parlimen supaya Fasal 38 (4) dipinda dimana raja-raja dan sultan tidak lagi kebal dan rakyat boleh mengambil tindakan kepada raja-raja sekiranya mereka merasa diri mereka terinaya.

Kerajaan telah bertindak bijak membawa usul tersebut ke parlimen dan dengan itu keresahan rakyat terhadap raja-raja dapat diredakan, dan dalam masa yang sama insituisi raja-raja dapat dipertahan dan terus diterima oleh rakyat.

Sebagai pemimpin umat Islam, Tun Mahathir juga menyedari bahawa peruntukan meletakkan raja-raja di atas undang-undang adalah bertentangan dengan Islam itu sendiri. Ini kerana setiap manusia adalah tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

Kerajaan Barisan Nasional telah dikritik hebat oleh parti-parti pembangkang seperti PAS ketika itu kerana dikatakan cuba menghapuskan kuasa raja-raja. Mereka seolah-olah mahu mempertahankan raja-raja sedangkan aliran pemikiran revolusi ala Iran diketahui berkembang di dalam parti itu yang mana sistem beraja direpublik Islam Iran telah dihapuskan sama sekali.

Hari ini sekali lagi kita lihat PAS cuba menggunakan isu pindaan perlembagaan 1993 sebagai modal untuk menghentam UMNO dalam menghadapi krisis penubuhan kerajaan BN di Negeri Perak.

Mereka cuba untuk memberitahu Sultan Azlan bahawa UMNOlah yang telah membuang imuniti raja-raja. Tetapi sebagai sultan yang amat arif dengan perjalanan sistem pemerintahan negara ini, dapat memahami apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO 15 tahun dahulu adalah untuk melihat sistem beraja kekal hingga ke hari ini.

Friday, February 6, 2009

Kenapalah bodoh sangat bangsaku.......

Selepas apa yang berlaku di negeri Perak khususnya di Kuala Kangsar selepas sembahyang Jumaat semalam, para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat harus mengambil iktibar atau pengajaran dari peristiwa tersebut.

Perbalahan yang berlaku adalah antara kerajaan Pakatan Rakyat yang telah ditumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional, disebabkan 3 orang ADUNnya telah menjadi anggota bebas dan menyokong BN.
Seperti yang diketahui, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah didominasi oleh anggota-anggota DAP. Walaupun Menteri Besarnya seorang Melayu dari ADUN PAS, tetapi penguasaan kerajaan itu, jelas ianya dikuasai oleh DAP.

Apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Niza, dititahkan oleh Baginda Sultan Perak supaya meletakkan jawatan, beliau beranggapan tindakan itu bertentangan dengan undang-undang tubuh Negeri Perak dan membuat keputusan membantah titah Sultan itu.

Saya tidak mahu membicarakan siapa yang betul atau siapa yang salah dalam perkara tersebut. Apa yang mahu saya perkatakan ialah, dimanakah penyokong-penyokong DAP atau PKR yang bukan Melayu dalam mempertahankan Menteri Besarnya apabila telah dilucutkan jawatannya.

Melihat dari gambar-gambar yang dipamirkan dan juga dari blog-blog yang ditulis, jelas menunjukkan yang bersungguh-sungguh mempertahankan Datuk Seri Mohamad Niza ialah orang-orang Melayu dari PAS dan PKR.

Tujuan Datuk Seri Mohamad Niza membantah titah Sultan, bukanlah untuk mempertahankan jawatan Menteri Besarnya tetapi adalah untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP yang bukan berbangsa Melayu.

Sepatutnya pemimpin, ahli dan penyokong DAPlah yang bersungguh-bersungguh mempertahankan Datuk Seri Mohamad Niza. Tetapi dari gambar-gambar yang ditunjukkan yang nampak bersemangat ialah orang-orang Melayu yang pastinya dari PAS dan PKR.

Jadi kenapakah orang-orang Melayu begitu bodoh sekali sehingga sanggup menderhaka kepada Sultan mereka, hanya semata-mata untuk mempertahankan kerajaan yang bukan dikuasai oleh orang-orang Melayu.

Kita lihat orang-orang bukan Melayu terutama kaum Cina, baik MCA,Gerakan mahupun DAP, apa yang telah menjadi hak kaum mereka mereka tidak berbalah pendapat mengenainya; malahan mereka bersatu mempertahankan.

Tetapi pemimpin Melayu PAS dan PKR dalam kes di Perak ini, Sultan yang merupakan tunggak terakhir orang-orang Melayu mahu didurhakai hanya kerana mahu mempertahankan "kawan" yang bukanpun dari kalangan Melayu.
Takut nanti, menang sorak, kampung yang tergadai.......

Tuesday, February 3, 2009

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT PERAK DI AMBANG KERUNTUHAN

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak diambang keruntuhan. Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dari DAP, Hee Yit Foong yang memegang jawatan Timbalan Speaker telah mengisyitiharkan keluar dari DAP dan menjadi wakil bebas.

Ini menjadikan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, Pakatan Rakyat 29, Barisan Nasional 27 dan bebas 3. Ketiga-tiga ahli ADUN yang telah meninggalkan parti mereka itu, jelas akan memihak kepada Barisan Nasional.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin buat masa ini sedang menunggu perkenan Sultan untuk datang mengadap bagi mempersembahkan cadangan yang dikatakan mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak.


Di pihak Barisan Nasional juga mungkin sedang membuat persiapan atau melobi bagi membolehkan mereka mengadap Sultan Perak bagi menubuhkan kerajaan campuran antara BN dan tiga orang wakil calon bebas.


Mereka sekarang ini mempunyai 27 kerusi dan 3 kerusi bebas yang menjadikannya 30 BN dan 29 PR. Dengan kelebihan majoriti 1 kerusi BN sekarang ini layak untuk memerintah negeri Perak.


Diharapkan pihak Sultan Perak tidak memperkenankan cadangan Menteri Besar, Datuk Nizar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.


Negara sekarang ni sedang menghadapi krisis ekonomi akibat krisis ekonomi dunia. Sekiranya DUN Perak dibubarkan, bererti satu pilihanraya perlu diadakan. Dalam kegawatan ekonomi sekarang, adalah lebih baik wang untuk pilihanraya itu digunakan bagi membela nasib rakyat dan juga pembangunan negara.


Seharusnya para pemimpin negara yang bertelagah sekarang ini membuat "gencatan senjata" dan menumpukan kepada usaha-usaha memulihkan ekonomi negara. Apalah gunanya bertelagah kalau negara menderita. Menang jadi abu dan kalah jadi arang.