Tuesday, February 10, 2009

Fasal 38 (4) usaha UMNO mempertahankan raja

Majlis raja-raja yang pertama di Kuala Kangsar

Tujuan meminda Perlembagaan Persekutuan Fasal 38 (4) menghapuskan imuniti raja-raja pada tahun 1993, bukanlah bertujuan untuk menghina raja-raja atau mengurangkan penghormatan rakyat terhadap raja atau sultan.

Pindaan itu terpaksa dibuat oleh kerajaan yang didukung oleh UMNO yang memperjuangkan hak orang-orang Melayu, bagi memastikan Sistem Raja Berpelembagaan dapat terus dipertahankan dalam arus permodenan dunia yang semakin mendesak sekarang ini.

Beberapa peristiwa yang terjadi antara seorang rakyat dengan seorang raja dan kerabatnya diwaktu itu, telah menimbulkan satu keadaan resah dan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat.

Tun Dr. Mahathir yang ketika itu sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, telah mengambil satu langkah kehadapan bagi menyelamatkan istana dari terus dikritik ekoran dari peristiwa tersebut.

Beliau menyedari dalam dunia yang mengamalkan sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat. Bagaimanapun raja-raja masih dapat dipertahankan sekiranya rakyat tidak menempelak mereka.Tetapi apabila raja-raja tidal lagi dapat mengawal diri dan kerabatnya, dibimbangi rakyat akan menzahirkan kekuatannya.

Sebagai parti orang-orang Melayu, para pemimpin UMNO menyedari orang-orang Melayu masih lagi memerlukan payung bagi membolehkan mereka berteduh dan berlindung semasa dalam proses menatih diri menjadi satu bangsa yang kuat. Orang Melayu masih tidak mampu untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang sememangnya telah kuat dalam berbagai bidang.

Bagi meredakan keresahan rakyat itu, Tun Dr. Mahathir selaku presiden UMNO dan Perdana Menteri kerajaan BN telah membawa usul ke Parlimen supaya Fasal 38 (4) dipinda dimana raja-raja dan sultan tidak lagi kebal dan rakyat boleh mengambil tindakan kepada raja-raja sekiranya mereka merasa diri mereka terinaya.

Kerajaan telah bertindak bijak membawa usul tersebut ke parlimen dan dengan itu keresahan rakyat terhadap raja-raja dapat diredakan, dan dalam masa yang sama insituisi raja-raja dapat dipertahan dan terus diterima oleh rakyat.

Sebagai pemimpin umat Islam, Tun Mahathir juga menyedari bahawa peruntukan meletakkan raja-raja di atas undang-undang adalah bertentangan dengan Islam itu sendiri. Ini kerana setiap manusia adalah tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

Kerajaan Barisan Nasional telah dikritik hebat oleh parti-parti pembangkang seperti PAS ketika itu kerana dikatakan cuba menghapuskan kuasa raja-raja. Mereka seolah-olah mahu mempertahankan raja-raja sedangkan aliran pemikiran revolusi ala Iran diketahui berkembang di dalam parti itu yang mana sistem beraja direpublik Islam Iran telah dihapuskan sama sekali.

Hari ini sekali lagi kita lihat PAS cuba menggunakan isu pindaan perlembagaan 1993 sebagai modal untuk menghentam UMNO dalam menghadapi krisis penubuhan kerajaan BN di Negeri Perak.

Mereka cuba untuk memberitahu Sultan Azlan bahawa UMNOlah yang telah membuang imuniti raja-raja. Tetapi sebagai sultan yang amat arif dengan perjalanan sistem pemerintahan negara ini, dapat memahami apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO 15 tahun dahulu adalah untuk melihat sistem beraja kekal hingga ke hari ini.

1 comment:

  1. Kadang-kadang ada pihak yang suka "shoot first aim later". Ini yang berlaku kepada pimpinan PR. Saya merujuk kepada siaran Malaysian Insider bertajuk Pemimpin PR akan mengadap Sultan. Mengapa tindakan ini dibuat setelah mereka memalukan Paduka Sultan?

    Inilah maksud sebenar saya dalam Posting Nizar-Khalifah yang tidak berakal. Kadang2 berundur setapak belum tentu kalah. Maju setapak belum tentu menang.

    ReplyDelete